Saturday, June 1, 2019

Coretan di akhir Ramadhan

Bismillahi Ar-Rahman Ar-Rahim

Alhamdulillah masih diberi peluang untuk bertemu dengan bulan ramadhan, pada waktu usia mencecah 30an.

Alhamdulillah di saat banyak berita kematian di dada-dada akhbar, saya masih diberi peluang dapat melihat anak-anak membesar, meluangkan masa bersama keluarga dan bergelak ketawa, gembira menanti syawal yang tak lama lagi akan tiba.

Alhamdulillah walaupun sedang bertugas atas panggilan (oncall) saya masih diberi masa untuk menggerakkan jari-jemari mengetik keyboard untuk mencoretkan sedikit luahan dan cerita.

Dengan kehidupan kini yang makin dewasa, pelbagai pencapaian telah dilakukan. Saya telah menjadi seorang isteri dari hanya seorang anak perempuan sebelumnya, kemudian menjadi seorang ibu. dari seorang doktor pelatih, sekarang menjadi medical officer. Dari mempunyai seorang anak, menjadi dua dan kini Alhamdulillah saya mempunyai 3 cahaya mata.

Ada diantara kita yang berkejar dalam menaik taraf kehidupan, kerjaya, keluarga, pendapatan, aset dan sebagainya.

Tapi ada yang perlu kita risaukan, yakni adakah amalan dan ibadah kita diupgrade seiring dengan pencapaian duniawi? Dulu solat kita hanya sekadar tanggungjawab..adakah sekarang masih sama? khusyuknya bertambah atau tidak? Penghayatannya masih ditakuk lama? puasa sekadar tradisi di bulan ramadhan? sedeqah amal jariah dan pelbagai lagi amalan yang telah kita lakukan sejak kecil, namun adakah kita berusaha untuk menaik taraf amalan-amalan tersebut?

Di penghujung bulan Ramadhan ini, sama-sama kita berdoa dan masih belum terlambat untuk kita perbaiki diri. Pengampunan dan kasih sayang Allah sentiasa terbuka bagi mereka yang menginginkannya. Semoga Allah memberi kekuatan dalam kita semua.

p/s: fateh dah mula rasa excited nak raya :-)