Sunday, September 13, 2009

updates....

Kempen Anti-Islam bimbangkan Britain


masjid di Harrow, utara London


LONDON 13 Sept. - Pertempuran antara penunjuk perasaan anti-Islam dengan penduduk Islam di bandar-bandar di England sangat membimbangkan kerajaan Britain, malah seorang Menteri menyamakan kekacauan itu dengan konfrontasi yang dicetuskan oleh golongan fasis pada zaman 1930-an.

Keganasan yang berlaku di Luton, Birmingham dan London dalam tempoh beberapa bulan lalu melibatkan kumpulan-kumpulan pelampau berhaluan kanan seperti Liga Pertahanan Inggeris di satu pihak dan pertubuhan antifasis dan belia Islam di satu pihak lagi.

Menteri Komuniti, John Denham dalam wawancara semalam menuduh penunjuk perasaan anti-Islam itu sengaja mahu mencetuskan kekacauan.

"Taktik provokasi bagi membangkitkan tindak balas dengan harapan untuk mencetuskan keganasan lebih luas sudah lama digunakan oleh kumpulan pelampau berhaluan kanan," kata Denham yang dipetik oleh akhbar Guardian.

Beliau menyebut mengenai peristiwa di Cable Street pada 1930-an.

Konfrontasi pada 1936 itu dicetuskan oleh keputusan pemimpin fasis Britain, Oswald Mosley untuk mengadakan perarakan di kawasan majoriti Yahudi di East End, London.

Pengikut pro-Nazi Mosley dicabar di Cable Street oleh penduduk Yahudi, penyokong komunis dan pengikut fahaman anarki, dan satu pertempuran sengit meletus.

Liga Pertahanan Inggeris menolak label fasis itu dan mendakwa mereka hanya menentang puak militan Islam.

Jurucakap Majlis Islam Britain, Inayat Bunglawala berkata, tentangan liga tersebut terhadap puak militan Islam hanyalah helah untuk menyembunyikan misi anti-Islam yang sebenarnya dijalankan oleh kumpulan itu.

"Mereka bukanlah golongan yang menyokong perpaduan masyarakat," katanya.

Bunglawala menambah kata, Majlis Islam Britain yang merupakan penaung bagi semua pertubuhan Islam di negara ini sudah menyaksikan lonjakan insiden anti-Islam termasuk serangan untuk membakar masjid, sejak beberapa bulan lalu.

"Semua insiden itu adalah perkembangan yang amat membimbangkan," kata beliau semalam

***********************************************************************************

Pelampau disyaki terlibat

BEIRUT 13 Sept. - Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) mengesyaki puak pelampau di kem-kem pelarian Palestin di negara ini sebagai dalang serangan roket terbaru dari selatan Lebanon ke Israel.

Penasihat politik UNIFIL, Milos Strugar semalam berkata, beliau difahamkan siasatan mengenai insiden itu tertumpu kepada kumpulan-kumpulan pelampau yang dikaitkan dengan kem pelarian.

Sekurang-kurangnya dua roket yang dilancarkan dari kampung Al-Qlaileh di selatan Lebanon mendarat di wilayah Israel kelmarin, mendorong tentera rejim itu bertindak balas dengan melepaskan tembakan meriam.

Israel mengumumkan ia telah mengemukakan aduan kepada PBB, manakala Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu hari ini berkata, beliau menganggap kerajaan Lebanon sebagai bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.

Menurut Strugar, UNIFIL segera melancarkan siasatan mengenai insiden itu dengan kerjasama tentera Lebanon.

Sebanyak 12 kem pelarian Palestin di Lebanon dianggap sebagai tempat pembiakan bagi golongan pelampau. Tentera Lebanon lazimnya tidak memasuki kem tersebut, sebaliknya menyerahkan tanggungjawab menjaga keselamatan kepada puak-puak Palestin.

"Siasatan sedang dijalankan dan isu paling penting ialah membawa pihak yang terlibat dan membawa mereka ke muka pengadilan," kata Strugar.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan di kedua-dua pihak dalam insiden kelmarin.

Tentera Lebanon melaporkan kampung Al-Qlaileh dibedil dalam serangan balas Israel dan ambulans dikejarkan dari bandar pelabuhan Tyre.

Pasukan pengaman UNIFIL semalam memantau kawasan sempadan di mana keadaan dilaporkan tenang, kata jurucakap UNIFIL, Yasmina Bouziane.

**********************************************************************************

455 penempatan haram di timur Jerussalem

Jumaat, 11/09/2009 -Kerajaan haram Israel merasmikan pembinaan 455 buah rumah haram untuk penduduk haram Israel di kejiranan Mafseret Adumim berhampiran Maaleh Adumim di Timur Jerusalem.

Beberapa ahli Knesset dan menteri menyertai upacara ini dan mengikut Maer Barosh ahli Knesset ini merupakan tindak balas terhadap desakan antarabangsa untuk menghentikan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat dan TImur Jerusalem serta berikrar akan meluaskan lagi penempatan haram. Israel merancang membina 3000 unit haram di Maaleh Adumim dengan fasa pembinaan 600 unit haram setahun dimana 37000 penduduk haram menetap di situ.

Barosh menambah lagi Israel tidak boleh menjadi lemah atas desakan antarabangsa dan mengaku Israel telah banyak melakukan pengorbanan sejak perjanjian Oslo untuk keamanan dan atas sebab demikian Israel tidak berpuas hati atas desakan antarabangsa untuk memulihkan hubungna dengan negara Arab.

**********************************************************************************

"Hubungan baik arab-israel berlaku sekiranya aktiviti penempatan yahudi dihentikan" -Abu Al-Gheit

Jumaat, 11/09/2009 – Menteri Luar Mesir, Ahmad Abu Al-Gheit membuat satu kenyataan pada Selasa, bahawa terdapat kemungkinan berlaku hubungan baik Israel dan Negara Arab tetapi bergantung juga kepada rundingan keamanan Palestin-Israel, dan pemberhentian terus segala aktiviti penempatan baru Yahudi di Wilayah Palestin. Sewaktu dalam satu sidang media bersama rakan sejawatannya di Sepanyol, Miguel Angel Martinos, Al-Gheit memberitahu bahawa hubungan baik ini bakal membantu lagi dalam menjernihkan hubungan kedua-dua belah negara yang bertelagah, Palestin-Israel.

Beliau menambah lagi, rundingan damai Israel-Palestin seharusnya berteraskan satu kehendak yang sama, dan patut dimulakan bila-bila masa sejak berlakunya Intifadha ke-2 penghujung September 2000. “Hari ini, dunia Arab tegas dengan pendirian bahawa Israel mesti memberhentikan terus semua projek penempatan haram mereka di Tebing Barat, dan Timur Baitul Maqdis,” ujar Al-Gheit, “ Israel seharusnya menerima undang-undang Peta Laluan seperti mana terkandung dalam rundingan damai, dan pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka”, tambahnya lagi.

Beliau juga berkata, Mesir berharap AS, Kesatuan Eropah, dan masyarakat antarabangsa mempertahankan segala persetujuan rasmi antara Israel-Palestin. Sementara itu, Moratinos menyeru semua Negara Arab meneruskan hubungan baik dengan Israel selepas kerja-kerja penempatan haram Yahudi dihentikan, dan tambahnya lagi, “Kami sudah tentu mahu melihat perkembangan positif dalam hubungan antara dunia Arab dan Israel”.

**********************************************************************************

Demonstrasi tuntut mayat syuhada' dikembalikan

Jumaat, 11/09/2009 – Ratusan rakyat Palestin terdiri daripada kaum keluarga para syuhada’ dan orang-orang hilang dalam tahanan regim Zionis telah mengadakan demonstrasi pada hari Selasa di bandar Nablus. Mereka menuntut dikembalikan mayat anak-anak mereka dan orang-orang yang yang hilang dalam tahanan regim Zionis sejak puluhan tahun lalu.

Para penunjuk perasaan mengutuk keras polisi regim Zionis terhadap mayat para syuhada’, orang-orang yang hilang dan keluarga mereka. Mereka juga mengutuk kedegilan Zionis yang menyembunyikan maklumat berkenaan orang-orang yang ditahan. Mereka tidak menolak kemungkinan pihak Zionis mengambil organ-organ badan anak-anak mereka dan mencemarkan kehormatan mayat mereka, khususnya selepas sebuah akhbar Sweden menyiarkan laporan yang mengesahkan maklumat tersebut.

Kaum keluarga terlibat memaklumkan mereka sedang berusaha untuk membuat tuntutan rasmi, sama ada pada peringkat nasional dan antarabangsa, serta melalui badan-badan hak asasi manusia agar segala cara digunakan bagi membebaskan anak-anak mereka yang ditahan. Mereka menegaskan regim Zionis tidak berhak sama sekali untuk bertindak menahan mereka.

***********************************************************************************

p/s: diam tak bererti tiada..walaupun tiada berita gempar tentang isu palestin, tapi saudara kita masih tersiksa di bumi yang suci itu..jangan putus mendoakan dan membantu apa yang termampu..

No comments: