“Ustaz, saya dan tunang saya sudah  hampir ke tarikh pernikahan kami. Tetapi tunang saya telah secara  mendadak memutuskan pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat seorang  perempuan lain dan setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu  adalah pilihan sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah.  Bagaimana pandangan ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang  saya sangat terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada  petunjuk Allah? Di mana silap saya, ustaz?”
 Sepucuk emel dihantar kepada saya.
 Beristighfar dan mengurut dada.
 Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.
 Malah di kalangan pelajar universiti, Istikharah semakin popular di  dalam trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah membuat  pilihan untuk mereka. Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang  disangka petunjuk, kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu adalah tunang  orang, suami orang, malah ada juga isteri orang. Bertindak atas nama  ‘petunjuk Allah’, tercetus permusuhan sesama anak Adam.
 Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan ‘petunjuk’ penuh mudarat dan zalim itu?
 
 MEMBELAKANGKAN ILMU
 Penyakit besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah  tanpa ilmu. Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan  rakan-rakan yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain.  Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu  dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’?
 Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang  mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran  dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang  manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam.
 Mengira huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf  dan mencari petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak  meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.
 Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:
 “Ada sesetengah orang berpendapat,  “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti  petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang  ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’  dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur  (dengan meletakkan harapan   petunjuk datang melalui mimpi), malah ada  juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana  mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini  hakikatnya adalah prasangka  manusia yang tidak berasas”
 Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.
 Istikharah itu bermaksud meminta bantuan  daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa  kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada pun pilihan yang berada  antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh,  maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan yang  sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan  pilihan yang tidak baik itu.
 Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
 
“Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:
 Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:
 Apabila sesiapa daripada kalangan  kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk  (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu  (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah). 
 Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya  Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon  ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha  Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk  menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui.  Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya  Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat  tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui  akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan  urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah  ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan  andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada  agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka  hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah  bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.
 ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH
 Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah.
 Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.
 Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:
 
 “Tidak akan menyesal seorang yang  beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para  Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”
 Biar pun para Ulama berselisih pendapat  tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia  tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia  dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada  pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu  mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di  depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik.  Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian  dengan berusaha.
 Setelah beristikharah, namun hati masih  berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat  dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat  keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni  meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan  kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat.
 Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah  kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah  untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda  yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana  hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang  teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah  Syaitan.
 Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda  yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong  mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya  bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya  sendiri.
 
 Berhentilah mencari mimpi.
 Berhentilah menunggu petanda.
 Beristikharah memanggil kebersamaan Allah  dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan  keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah  dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang  dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan  berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada  apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan  kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah –  Ikhtiar Usaha).
 Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang  disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan,  meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.
 Ia mungkin mainan Syaitan.
 
 “Sebahagian (daripada umat manusia)  diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman  dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka  ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya  mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang  ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada  di dalam petunjuk hidayah” [Al-Aa'raaf 7: 30]
 KESIMPULAN
 - Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam  kehidupan. Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang  mengundang bahaya.
- Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan kepada Istikharah.
- Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk melihat buruk baiknya.
- Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah.
- Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah  kepada Allah mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur  daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
- Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan.
- Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai kewibawaannya.
- Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan.
- Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka kepada belitan Iblis.
- Jauhi Bid’ah dan Syirik.
- Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu.
- Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan  yang dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah  dan kebaikan daripada Allah.
- Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di  dalam ruang lingkup keharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat  sebagai mekanisme jodoh.
- Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.
- Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama.
diambil dari web 
ustaz hasrizal.