JERUSALEM, 10 November -
Seorang pemimpin agama Yahudi telah mengeluarkan sebuah buku yang memberi kebenaran untuk membunuh orang-orang bukan Yahudi, termasuk bayi dan kanak-kanak, yang dirasakan mengancam bangsa Yahudi atau negara Israel.
"Dibenarkan membunuh orang-orang bukan Yahudi sekalipun mereka bukan merupakan satu ancaman," tulis Rabbi Yitzhak Shapiro, yang mengetuai Od Yosef Chai Yeshiva di kawasan penempatan haram Yitzhar, Tebing Barat, dalam bukunya "The King's Torah".
Menurutnya, goyem (orang-orang bukan Yahudi) boleh dibunuh jika mereka mengancam Israel.
"Jika kita membunuh seorang yang berdosa atau yang mengingkari satu daripada Tujuh Perintah - kerana kita mengambil berat akan perintah-perintah itu - tiada salahnya pembunuhan tersebut."
Shapiro, yang mengepalai sebuah sekolah Talmud di kawasan penempatan Yitzhar dekat Nablus, mendakwa pendapatnya itu "disokong penuh oleh Taurat dan Talmud".
Pengumuman anti-goyem itu dilihat sebagai tindakbalas terhadap penangkapan seorang Yahudi yang mengaku telah membunuh dua orang gembala Palestin di Tebing Barat.
Pembunuh kelahiran Amerika itu, Yaakov Teitel, juga mengaku melakukan cubaan membunuh tokoh-tokoh Yahudi berhaluan kiri.
Polis menyifatkan penangkapan tersebut sebagai usaha penting membendung anasir pengganas dalam kalangan Yahudi, yang dipercayai berkembang hasil pengumuman-pengumuman tokoh agama yang dikaitkan dengan gerakan Zionis.
Kira-kira 16 tahun lalu, seorang Yahudi bernama Yigal Amir telah membunuh Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin.
Selain itu, ramai penduduk Palestin yang tidak berdosa menjadi mangsa bunuh Yahudi tanpa apa-apa alasan. Dalam tahun 1994, Baruch Goldstein, yang didakwa sebagai pengganas Yahudi, telah membunuh 29 ahli jemaah Masjid Al-Ibrahimi di bandar Al-Khalil, Tebing Barat, yang ketika itu sedang mengerjakan solat.
Pengumuman kontroversi itu disokong oleh banyak rabbi yang dikaitkan dengan kem agama nasional serta seminar Talmud di Jerusalem Barat, yang dikenal sebagai Merkaz Ha'rav. Antara para rabbi yang menyokong pengumuman tersebut secara terbuka adalah Yitzhak Ginsburg dan Ya'akov Yosef.
Ginsburg telah menulis kenyataan yang memuji Goldstein dan menggelarnya "tokoh suci." Tinjauan Shapiro mengenai bagaimana penduduk Palestin dan bukan Yahudi sepatutnya dilayan sesuai dengan peraturan agama Yahudi (halacha) dilihat sebagai mewakili pandangan arus perdana di Israel.
Ketika serangan Israel terhadap Gaza awal tahun ini, Mordecahi Elyahu, salah seorang tokoh rabbi terkemuka di Israel, menyeru anggota tentera agar tidak teragak-agak untuk membunuh kanak-kanak dalam kalangan musuh, demi menyelamatkan nyawa tentera Israel. Bahkan, Elyahu mendesak pemerintah Israel agar melakukan siri pengeboman ke atas pusat penempatan penduduk Palestin di Gaza.
"Jika mereka tidak berhenti setelah kita membunuh 100 orang, maka kita harus membunuh 1,000. Dan jika mereka tidak berhenti setelah kita membunuh 1,000, maka kita harus membunuh 10,000. Jika mereka masih tidak berhenti, kita harus membunuh 100,000, bahkan sejuta. Apa sahaja yang diperlukan untuk menghentikan mereka."
Pada tahun 2006, Majlis Rabbi mengenai Penempatan Yahudi di Tebing Barat mendesak tentera "agar mengabaikan moral Kristian dan memusnahkan musuh di utara (Lebanon) serta selatan (Jalur Gaza)". Desakan yang secara jelas berbaur perkauman dan penuh kebencian tersebut tidak sedikit pun dipertikaikan, baik dalam kalangan ahli akademik mahupun masyarakat Israel pada umumnya.
No comments:
Post a Comment