Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini.
InsyaALLAH,  Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2  tahun, sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin, dalam ruang  demokrasi, tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun  untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.
Dato’  Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin  tahu. Keinginan saya ini, menjadikan saya remaja yang tidak hanya  terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke  penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata). Saya juga mampu membaca  suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. ‘Singgah’ di  laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di  media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang  tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya kini.
Tidaklah  pula saya katakan, yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak.  Saya cuma mahu tegaskan, saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah  remaja yang bukan kerjanya sehari-hari, makan, tidur, ‘menelan’ buku  teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat  perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.
Izinkan  saya Dato’ Seri, untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak,  seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang  remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri  yang InsyaALLAH, kelak, kamilah yang akan membuang undi!
Dato’  Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara  yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah.  Ia adalah persoalan besar dan penting.  Persoalan yang diletakkan  tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan  penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.
DASAR
Saya,  yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini, percaya bahawa, setiap  tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan  sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi  sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi,  atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita,  seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita  tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap  tindakan Dato’ Seri?
Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?
Maaf  Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan  Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih  jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.
Saya  amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’  Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya.  Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.
Saban  hari, saya dan rakan-rakan, menerima berita dari segenap pelusuk  negara, samada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang  MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau  kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan  penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi,  pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi  kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan  hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis  kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai  Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!
Saya  begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi  muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut  Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini  hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?
PELAN TRANSFORMASI EKONOMI
Program  Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri, turut  menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN  MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa  industri pelancongan dan menarik pelancong juga, kerajaan pimpinan  Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan  konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa  dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.
Kerajaan  Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala  Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota  Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada  RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu  menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal  2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.
Maka,  menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon  hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar  negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru  menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan  merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had  waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.
Dato’  Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan  artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana, seorang  penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda,  dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.
Izinkan  saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai  neraca timbangan waktu Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea  ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka  untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?
Yang  Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar, bahawa  perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’  besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan  ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar, yang akan menjadikan rakan-rakan seusia  saya, remaja semuda saya atau lebih muda, hancur musnah Akhlaknya,  punah-ranah Sahsiahnya.
Iya,  Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para  bijak pandai masa depan. Dengan Dato’ Seri melambakkan pada mereka,  hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan, bakal dihidang  dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya  satu Dato’ Seri, hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan  negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang  kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’  hiburan-hiburan ini?
IFF dan AURAT 
Dato’  Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab  menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan  Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan  dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar beritah demikian,  kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.
Dato’  Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya, waktu melihat Dato’  Seri dan isteri, melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo  tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati, untuk berteriak-teriak marah  tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama  “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam), yang dinaungi oleh isteri Dato’  Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat  terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan  isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?
Saya  dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’  Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri  Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri.  Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna.  Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan  (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya,  apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?
JUDI
Bukan  sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian  lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan  di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak, apakah harapan  Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?
Apakah  ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri  gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita  melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?
Apakah  Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan  cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia  memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka, daripada wang yang mereka  perolehi hasil judi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri  sebenarnya?
Apakah keputusan-keputusan ini, ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?
KEMISKINAN dan HARGA NAIK
Dato’  Seri, orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali, jika tidak jadi  Perdana Menteri Malaysia pun, Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang  mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga, kaya raya.
Maka,  tidak kiralah, jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau Rm  10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah.  Tidak perlu berjerih payah.
Tahukah  Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat  yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan  kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai  neraca dan Allah sebagai penilainya, adalah pengurusan yang menghancur!
Dato’  Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah  Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun, sudah membuatkan mereka  terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar  mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada  membantu). Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah, meminta  wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa  menghulur dalam titis air mata. Sudahlah yuran persekolah masih  dihutang. Bukan sedikit keringat yang dicurah, demi sesuap rezeki halal  untuk anak-anak dan keluarga.
Kerajaan  Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk  menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat, yang  terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali  harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20  sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.
Rakyat  benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah  dipenuhi. Janji itu dan ini, sekadar untuk meraih undi. Waktu berkuasa,  kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami, bermatian berusaha keras  sendiri.
SUARA RAKYAT
Waktu  rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi, untuk meluahkan rasa yang  terbuku di hati, dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri  yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami, ‘perusuh-perusuh’ yang  membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan  diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami  diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin,  Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.
Dan  menteri-menteri Dato’ Seri, tanpa rasa bersalah, menggelarkan kami  sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di  jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh  melulu itu, memahami pedihnya hati ini.
Semuanya  adalah kerana, kami rakyat, cuba untuk berkongsi rasa dengan pimpinan  negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan  ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat  diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk  kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang  kecil untuk kami bercerita dan berkongsi, betapa peritnya kehidupan yang  kami rakyat lalui.
Pernahkah  Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh  pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu  pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli?  Pernahkah Dato’ Seri?
Dato’  Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan  rakyat.Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri  memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun  dengan aman dan baik. Media dibawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan  segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’  yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi  membuktikan tindakan kami bersuara, adalah bercanggah pada sisi agama.
Dato’  Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah  perhimpunan anjuran Dato’ Seri, pada setiap malam menunggu detik  Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu  rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana  jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat,  kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali  sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat  membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi  sebab untuk anak-anak muda ditangkap khalwat?
Dan  pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu  menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur  himpunan rakyat yang bersuara, sebagai Bughah (derhaka) dan menuju  Maksiat!?
REFORMASI
Saya  dan juga rakan-rakan, adalah remaja muda yang punya sikap. Punya  pendirian. Kami berazam, untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami  berazam dan bertekad, seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki  keadaan punah ini.
Kaedah  merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira  gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya  sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.
Jika  sampai masanya, untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi  pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk  siapa yang layak menerima undi kami nanti.
Tidak  cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang  penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti.  Agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem  kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan  sebagai asas, akan mendapat tempat tertinggi di negara ini.
Dato’  Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan.  Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min  itu bersaudara?
Dato’  Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri,  mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya  dahulukan dengan permohonan maaf, kerana mungkin ada kesilapan saya.  Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada gerak  langkahnya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri  meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu  adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.
Namun  Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini, ataupun tindakan-tindakan  remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian,  hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk  itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Muhammad Muizzuddin Bin Zaini
p/s: source: harakahdaily
Solidariti Yang Hakikatnya Seruan Jahiliah
2 months ago
9 comments:
syera suke sangat!!!!heee~~~
as-syahir-fitrah manusia suka pd kebenaran :)
doakan exam akak..hehe
betol2..cg semakin x ske pemerintahan dato seri..
bila nt exam?
salam~
kak duha~~~ :D
jejalan blog kak duha~~
like this ^___^
cg syikin-doalah moga ada perubahan (walau dari bentuk macam mana skalipun)
exam start esok..waaaaa~
p/s: cg ingat tak time SPM, nk exam bio..time ana tido umah cg tu..haha..tibe2 teringat :D
nabilah aka bea- waalaikumussalam..buah tangan mana? jalan je mana leh..hehe..
nadhirah- like it too :) hehe
Semoga duha dan kawan2 dapat menjawab exam dgn tenang n cun dan mendapat keputusan cemerlang..
*cg sentiasa igt nt duk umah cg duha..ari tuh cg g umah uh amek brg..umah uh da x mcm dulu..berselerak hahaha..
Post a Comment