Sunday, March 1, 2009

kita lupa


"Mak kambing, maafkan saya. Saya nak ambil anak makcik untuk buat
rendang ya!" pinta seorang pengusaha ternakan kambing kepada seekor
kambing betina tua, yang terpinga-pinga.
Perlukah beliau meminta izin si emak untuk menyembelih si anak?
Tidak perlu.



Hakikatnya, emak kambing, ayah kambing, anak kambing dan seluruh ahli
keluarganya adalah milik pengusaha ternakan kambing tersebut. Mahu
diambil si emak, mahu diambil si anak, kuasa mutlak ada padanya.
Namun kerana ihsan yang ada pada diri, penternak kambing sentiasa
mengambil si kambing dewasa untuk jualan dan sembelihan. Sesekali
sahaja keadaan sebaliknya berlaku. Tiada pertikaian, kerana seluruh
kandang itu milik dirinya. Manusia yang memberi makan, minum,
penjagaan, rawatan, perlindungan dan segala yang diperlukan oleh si
kambing untuk hidup sejahtera.

RUBUBIYYAH ALLAH
Ada apa di sebalik kisah kambing?
Ia cara mudah untuk memahami kesan mengimani Rububiyyah Allah.

"Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan
bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan
penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan
mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur
segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah:
Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?" [Yunus 10: 31]
Mengimani bahawa Allah sebagai RABB, bahawa Dia itu Pencipta alam,
Pentadbir alam, Pengatur alam dan Pemilik alam… adalah sari pati
pengertian iman kita kepada Rububiyyah Allah.

Rububiyyah bukan iman muqaddimah yang remeh. Ia adalah iman asas,
tempat di mana terbina dan berpijaknya kehambaan kita kepada Allah
SWT. Sepatutnya, kesan mengimani Rububiyyah Allah inilah yang membawa
kita kepada perbuatan menghambakan diri kepada-Nya, menunaikan
tuntutan-tuntutan Uluhiyyah Allah, sebagai Ilah dan Keutamaan
Tertinggi dalam hidup ini.
Namun, Iman warisan yang tiada nilai pilihan, mungkin tercicir akan
hakikat ini. Dalam keadaan manusia beribadah kepada Allah, jiwanya
gagal berhubung dengan Rububiyyah Allah..
Justeru dalam `kesempurnaan' ibadah dan ritualnya, dia terlupa akan
hakikat diri sebagai HAMBA.

HAMBA YANG LUPA

Hamba yang lupa dirinya sebagai hamba, tidak bersedia untuk menerima
ujian. Dalam taatnya, dengan segera dia melatah mempersoalkan
kewajaran dirinya diuji.
"Apa salah anak saya. Mengapa dia yang mati, bukan saya!" kata-kata
manusia yang terlupa.
Terlupa bahawa dirinya, anaknya dan seluruh ahli keluarganya, adalah
milik mutlaq Allah, Pemilik mutlaq alam ini. Terikatkah Allah kepada
peraturan kita bahawa anak yang sepatutnya menghantar ibu bapa ke
kubur dan bukan sebaliknya?

AYAT-AYAT CINTA
"Oh, novel itu sangat bagus. Ia panduan bercinta menurut Islam," komen
gadis-gadis Islamik yang jatuh hati dengan novel Habiburrahman El Shirazy.
"Ceritanya indah sekali. Ana kepingin menjadi Fahri," ulas seorang akh
yang larut dalam kisah syahdu di bumi Kinanah itu.
Mana mungkin Habiburrahman El Shirazy menulis sebuah novel, hanya
untuk membentangkan soal cinta!



Saya bukan seorang pembaca novel cinta. tapi, kali ni bukan setakat novel, malah
Filemnya juga ditonton...
Tetapi saya tidak melihat novel itu kemuncaknya adalah cinta. Saya
tidak jadi `mabuk cinta' membaca bait Ayat-ayat Cinta. Sebaliknya saya lebih menekankan babak ketika Fahri berada di dalam penjara, kerana di situlah
mesej teragung yang sepatutnya diangkat sebagai muhasabah terbesar ke
atas jiwa.

Sama ada rakan sepenjara Fahri itu adalah Profesor Abdur Rauf yang
dinukil novel, atau lelaki gila tanpa nama di dalam filem, ungkapannya
bagai panahan lintar menampar pipi Fahri, juga saya yang membacanya:
"Allah sedang berbicara kepadamu tentang SABAR dan IKHLAS… SABAR dan
IKHLAS itulah Islam"
Ya… kesalahan Fahri adalah pada sangkaan dirinya, bahawa setelah hidup
dalam ilmu dan ketaatan, beliau tidak wajar diuji. Beliau itu bersih,
suci, bagai yang dimahukan oleh Allah. Apatah lagi ujian itu adalah
pada sesuatu yang bertentangan dengan nilai hidupnya. Mana mungkin
seorang yang begitu bersih dari menggauli manusia berlawanan jantina,
tertuduh dengan sebusuk-busuk fitnah, merogol Nora?

"Apa salah saya kepada Allah???" soalan seorang manusia bernama Fahri,
yang tertipu dengan dirinya sendiri.
"Istighfar! Allah sedang memberitahu kamu supaya jangan sombong! Ingat
siapa diri kamu!" bicara waras seorang manusia gila.
Itulah beban Ayat-ayat Cinta, bahawa segala tentang Fahri adalah untuk
mempotretkan seorang manusia yang sempurna pada ilmu, pada amal, pada
ibadahnya kepada Dia. Tetapi ikhlas dan musuh ikhlas itu sulit. Sulit
dan tersembunyi bagai semut hitam merayap di atas batu hitam pada
malam yang hitam pekat.

MUSIBAH ITU ADA TUJUANNYA
Agar keikhlasan itu dapat dirasa, datanglah segala musibah untuk
berbicara, dalam bentuk yang di luar bayangan dan jangkaan kita.
Kerana kita manusia yang lupa, bahawa kita semua adalah hamba. Status
yang menjadikan kita sentiasa layak untuk diuji, dan diperlakukan apa
sahaja oleh Pemilik kita (dengan selautan hikmah). Masakan kita boleh
terlupa bahawa sujudnya kita adalah kerana kita hamba, milik Dia?
Lulus ujian itu, meningkatlah darjat kita. Daripada seorang hamba yang
kurang baik, kepada hamba yang lebih baik. Namun masih tetap seorang
HAMBA.
Buruk sangka, tidak mencari `bicara Tuhan' di sebalik musibah dan
berantakan menyelaputi jiwa, binasalah kita sebinasa-binasanya.

Seorang lelaki yang baik, menjaga iman dan beramal soleh, difitnah
berzina?

Seorang isteri yang baik, taat, melakukan segala kebaikan untuk
kesempurnaan rumahtangga, dihadapkan dengan khianat suami bermain kayu
tiga?

Seorang suami yang bertanggungjawab, melakukan kebaikan kepada
rumahtangga tak berbelah jiwa, diuji dengan isteri dan anak-anak yang
kufur nikmat bernafsu rakus meminta dunia?

Seorang anak yang datang dari sebuah keluarga bahagia, berdepan dengan
keluarga mertua yang mengundang sengsara?

Seorang ibu dan seorang bapa, yang sangat menjaga hal ehwal pendidikan
dan akhlaq anak-anak mereka, diuji dengan salah seorangnya menjadi
pelesit menconteng arang ke muka?

Mengapa semua ini berlaku?

Itulah bicara Allah kepada kamu…

Kamu pernah mendakwa yang kamu menjaga pergaulan adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa bahawa kamu menjadi anak yang baik adalah KERANA DIA.

Kamu pernah mendakwa baahwa kamu menjadi ibu dan bapa yang
melaksanakan segala tugasan dengan sempurna adalah KERANA DIA.

LUPA
Tetapi kamu terlupa.
Ketika kamu tidak bergaul bebas, menjaga hubungan, dan berakhlaq baik,
kamu terlupa kepada Allah hingga menyangka yang kamu seharusnya
menerima yang baik-baik sahaja dalam hidup ini. Bukan cela, bukan
hina. Lelaki baik harus lancar memiliki perempuan yang baik.
Ketika kamu mentaati suamimu, menjaga segala keperluannya, kamu
terlupa kepada Allah dan meletakkan jangkaan bahawa mencintai sama
dengan memiliki, dicintai sama dengan dimiliki.

Setiap kali kamu melakukan sesuatu kebaikan, kamu lupa kepada Allah..
hingga kamu sangka itu semua jasa, dan jasa mesti dibalas budi.
Ketika kamu menjadi anak soleh, kamu lupa kepada Dia dan kamu sangka
kebaikanmu itu suatu jaminan. Mustahil anak yang baik dikeji manusia
ibu dan manusia bapa, biar pun mereka hanya mertua.
Semasa kamu mendidik anak-anak dengan sebaik-baik didikan, kamu lupa
kepada Allah lalu mengharap kebaikanmu dikenang dan dibalas mereka,
hingga terlupa niat kamu berkaitan Dia.

BAIK DAN MUKHLIS
Garis yang memisahkan di antara seorang manusia yang berlaku baik,
dengan seorang manusia yang ikhlas dalam kebaikannya, amat tipis.
Justeru datanglah ujian yang tidak disangka-sangka, untuk menzahirkan
keikhlasan itu.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya
berkata: "kami beriman", sedang mereka tidak diuji? [Al-Ankabut 29: 2]

Bicara untuk menyedarkan kamu, bahawa hati harus puas kerana
mengikhlaskan kehambaan kepada-Nya. Bahawa sebaik mana sekali pun
ibadah kamu, tanpa JIWA HAMBA, segalanya tidak bermakna.
HAMBA sentiasa sedar dirinya dimiliki dan tidak memiliki.
HAMBA sentiasa sedar dirinya sentiasa layak diuji.
HAMBA sentiasa sedar bahawa lahirnya hanya untuk DIA.

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan
Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan tentang diri mereka.
Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka. [Al-Hasyr 59: 19]
Kita sentiasa layak diuji…
Kerana kita adalah HAMBA.

p/s: cubelah hayati n apply dalam diri...mungkin kita
sekarang diuji dengan bebanan amanah jawatan yg bertimbun2 bertambah
dengan masalah study(mngkin ada yg ok) dan lain-lain.. ADA
HIKMAHNYA... .ALLAH mahu menguatkan kita dan mentarbiyah diri supaya
tetap thabat,sabar UNTUK MENERUSKAN DAKWAH ISLAM....insyaALLAH . ..


perkongsian dr seorang teman

13 comments:

Anonymous said...

Salam.
Takut bila dikatakan kita lupa pada janji kita pada Allah. Kerana memungkiri janji itu ciri orang munafik, lebih2 lagi janji kita pada Allah. Memang ketika senang kita selalu lupakan-Nya dan kembali mengingati-Nya. Akan tetapi, apa yg dilakukan oleh kebanyakan kita setelah ditimpa musibah lalu meminta pertolongannya kemudian senang kembali lalu kembali melupakannya dan seterusnya ditimpa lagi musibah? Adakah kita malu untuk meminta pertolongan dari Allah sekali lagi? Sesungguhnya pintu taubat dan pertolongan dari Allah itu sentiasaterbuka untuk kita selagi kita hidup di atas muka bumi ini. Mungkin ini juga suatu ujian untuk kita. Wallahua'lam.

Unknown said...

Sama la duha..,sekarang memang betul2 teruji.Masalah datang dari segenap penjuru.Masa pun memang dah xbanyak untuk diri sendiri...

Tapi kan,penat,letih,itu lumrah dalam perjuangan ini.
Tatkala,jiwa dan hati bergendang lemah tanpa tenaga,ingatlah kita kembali kepada sang Pemberi Tenaga,Yang MAha Kuat..

Mintalah,menangislah,ingatlah waktu sujud kepadaNya...

Jangan sekadar 'Iyyaka na'budu waiiyakka nastaiin' itu hanyalah retorik yang hanya terhambur ketika solat semata2...

Liyana said...

itulah sifat manusia yang manusia

kerana itulah Allah kurniakan golongan yang mengingatkan bagi yang tahu..

selamat bermujahadah ukhtiku..

p/s: dah hanta handsock td. kelad abes lmbat. kul 430..so straight pi bale.. wuwu~

Liyana said...

silap eja kelad..

kelas* habis lambat

idsyAleeya said...

penulisan yang baek..
bukan mudah menulis dengan penghayatan..
btw..
manusia sering je lupa..
tapi satu je manusia xpnah lupe..
iaitu melakukan dosa:)
sm2 kita saling ingat-mengingati~

sinar_islami said...

serius ukhti
tersentuh ana hari ni..
agknya mmg byk sudut amal yang terlepas pandang..
syukrn secara tak lagsung penulisan anti meyedarkan ana ttg sesuatu~
teruskn menulis...

Dia la Yang Maha Memahami dan Kita pula yng sering lupa

duha said...

Al-2-ah88- erm..betul2..kdg2 mmg pnah terdetik kat hati, malu untuk meminta ampun dr tuhan..sbb tak pernah bnti melakukan dosa walaupun mulut dah banyak melafazkan kata-kata taubat..moga Allah menguatkan hati kita dalam menempuh jalanNya..insyaAllah..

Ahmad Zulfahmi- erm..tulaa...ade masanya kite rase banyak btul masalah datang menimpa..harap-harap itu memang satu ujian, bukannya kemurkaanNya pada kita..takut jugak kan..erm..kembali pada Allah..moga dengan mendekatkan diri padaNya akan menjadikan diri kita lebih kuat!

duha said...

pudding caramel-heh..thanks kak yana..duha da trima hand sock tu..lengkali tules laa to: "duha comel" ke..sng sket nak recognize barang tu duha pnye..hehhehe.. :p
erm..rakan2 sekeliling mmg main peranan yang penting..kna saling tegur menegur, sbb kita mmg takkan bole hidup sorg diiri..mudah sgt hanyut dibawa arus dunia..slm mujahadah juga ya kak yana ku sayang :)

idsyAleeya- satu perkongsian dari teman..untuk teman2 yg lain..btul, manusia jarang lupa membuat dosa..tapi bnda lain esp kebaikan selalu kte lupakan..yup, saling ingat-mengingatilah ye.. :) majulah bale 3!1 (tetibe)

duha said...

sinar_islami- peringatan bg diri yg lemah ni jugak..sering sgt lupa dan kurg bersyukur ketika diuji..moga Allah mengampuni smua dosa2 kita..amiin~

sinar_islami said...

moga2 begitulah..
bersyukur kerna Dia jugalah yang mengingtkan dalam kita terlupa..
mmm itulah tanda sayangnya Dia pada kita..^-^

duha said...

sinar islami- yup..banyak tanda sebenarnya yang menunjukkan Dia sayang pada kita..cuma kita sedar atau tidak, kisah atau tak..terserah pada diri kita..jangan sesekali sia-siakan nikmat dan peluang yg diberi oleh Allah taala

3rdmarch said...

sesungguhnya ujian 2 slh 1 cara utk DIA mengingatkan kita bahawa kita dah semakin jauh drp DIA..bila dah sedar ambillah peluang dekatkan blk diri dgn DIA..

p/s:ucapan utk diri sendiri..

duha said...

3rdmarch-jzkk ye atas peringatan yg bermakna :)